LUMUT: Kerajaan akan mengumumkan bantuan khas kepada waris 10 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sokongan dari aspek kebajikan itu akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

"Sudah pasti ada yang mencarum dengan LTAT, ada juga yang sudah ada pencen dan sebahagian mereka ada juga insurans. Dan di samping itu, Perdana Menteri nanti akan umumkan apa saja bantuan dan sokongan daripada kerajaan kepada keluarga mangsa," katanya.

Beliau ditemui selepas melawat lokasi nahas dan bertemu keluarga mangsa pada Selasa.

[LAPOR LANGSUNG] Nahas helikopter Lumut: 10 korban, dua helikopter bertembung

Fadillah berkata, semua waris sudah berada di Hospital Angkatan Tentera di Pangkalan TLDM Lumut, manakala keluarga mangsa yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah akan dibawa terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi proses pengecaman mayat serta bedah siasat.

TLDM sebelum ini dilaporkan akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter terbabit bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Mereka yang terkorban dari pesawat HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Kdr Muhammad Firdaus Ramli; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; BM TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Manakala dari pesawat Fennec dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.